TUMPAT, 30 Mei – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA 8) berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 541 ekor burung murai batu dianggarkan bernilai RM541,000 dalam serbuan di Kampung Jubakar, pada Ahad.
Penolong Pegawai Pemerintah PGA 8, Deputi Superintendan K Ramesh berkata, rampasan dibuat pada jam 4 petang oleh sepasukan anggota yang melakukan rondaan menahan sebuah kereta pelbagai guna Chery Easter dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan keatas kereta tersebut, menemui 32 bakul plastik mengandungi 541 ekor burung murai batu yang dipercayai diseludup dari Thailand melalui Sungai Golok,
“Hasil soal siasat, mendapati semua burung itu akan dibawa ke utara untuk pasaran di sana. Semua burung berkenaan dirampas manakala pemandu berusia 28 tahun yang beralamat di Gerik, Perak ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Beliau berkata, burung tersebut diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1) (A) Akta Perhilitan 1972.
Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi Op Wawasan yang bermula 26 Mei lalu, pihaknya telah merekodkan 9 kes membabitkan nilai keselurhan rampasan lebih RM2 juta dengan 12 tangkapan serta 7 kenderaan dirampas.
“Kita akan terus mempertingkat dan mengetatkan kawalan sempadan dengan memantau pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bagi mengekang jenayah rentas sempadan,” ujarnya. – airtimes.my