LUMUT, 30 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) buat kali kedua menyertai eksesais maritim terbesar iaitu Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 yang dilaksanakan di Hawaii, Amerika Syarikat bermula 29 Jun hingga 4 Ogos ini.
Pada edisi kali ini, Kapal Diraja (KD) LEKIR telah diberikan penghargaan untuk mewakili TLDM untuk menyertai RIMPAC 2022.
Markas Pemerintah Armada (MPA) Barat dalam kenyataan berkata, eksesais multilateral maritim terbesar dunia ini dianjurkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS).
“KD LEKIR akan memulakan pelayaran dari Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) pada hari ini dan dijangka tiba semula ke TPL pada 6 September nanti setelah selesai menjalani RIMPAC 2022,
“Tempoh keseluruhan pelayaran sepanjang penyertaan eksesais akan mengambil masa selama 99 hari di laut,” katanya.
Menurutnya, RIMPAC 2022 akan memperlihatkan penyertaan angkatan tentera laut dari 28 buah negara dari seluruh dunia dengan penglibatan aset sebanyak 41 buah kapal permukaan, 5 buah kapal selam, 150 buah pesawat udara dan hamper 25,000 peserta.
“Objektif eksesais pada kali ini menggariskan tumpuan kepada kepentingan meningkatkan kebolehoperasian gabungan pasukan RIMPAC merentasi spektrum penuh operasi ketenteraan bertemakan ‘Capable, Adaptives, Partners’,” ujarnya.
Mengulas lanjut, KD Lekir telah diberi penghormatan untuk melaksanakan penembakan misil Exocet MM40 semasa eksesais berlangsung.
“Penghormatan ini adalah merupakan detik bersejarah buat TLDM yang mana buat pertama kalinya kapal TLDM akan melaksanakan latihan penembakan misil di luar perairan Malaysia,
“Penyertaan bagi siri eksesais kali ini membuktikan ketersediaan dan komitmen TLDM ke arah memperkasakan diplomasi pertahanan di peringkat antarabangsa selain meningkatkan kebolehoperasian aset pertahanan maritim negara serta profesionalime warga ke tahap yang tertinggi sering angkatan tentera laut di peringkat global,” jelasnya.
Tambahnya, penyertaan KD Lekir ini adalah merupakan penglibatan kali kedua TLDM setelah kejayaan buat pertama kali pada tahun 2018 menerusi KD LEKIU dari Skuadron Frigat ke-23.
Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis telah menyempurnakan Majlis Pelepasan Tali KD Lekir di Tambatan Pangkalan Lumut (TPL), hari ini.
Abu Bakar dalam ucapannya berkata, jutaan terima kasih kepada The Navy People yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung di dalam memastikan KD Lekir bersedia untuk menyertai RIMPAC 2022 ini.
“Kepada ahli keluarga warga KD Lekir, terutamanya ibu bapa, isteri dan anak-anak di atas sokongan yang tidak berbelah bahagi dan pengorbanan anda, hanya Allah SWT sahaja mampu membalasnya.
“Diharapkan agar anda semua tabah di dalam menunggu kepulangan mereka untuk 100 hari yang mendatang,” katanya. – airtimes.my