BANGKOK, 28 Mei – Tentera Diraja Thailand menyatakan serangan terhadap Pangkalan Polis Marin di Tak Bai pada Rabu lalu didalangi oleh kumpulan penjenayah.
“Insiden serangan ini mempunyai kaitan dengan tindakan proaktif pasukan keselamatan dalam menguatkuasakan undang-undang dan mencegah penyeludupan dadah,
“Pihak berkuasa telah menahan pengedar dadah, merampas aset mereka dan melakukan penggeledahan di tempat persembunyian mereka,” kata Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak yang dilaporkan oleh Bangkok Post.
Menurut beliau, ia adalah berdasarkan bentuk serangan dan juga perkembangan semasa yang berlaku di rantau tersebut.
Tambahnya, usaha damai di Selatan Thailand tetap diteruskan dan tidak terjejas akibat serangan tersebut.
Dalam kejadian lewat malam Rabu lalu, seramai 3 orang anggota keselamatan termasuk 2 anggota sukarela cedera dalam satu insiden tembak-menembak di kawasan berhampiran Pangkalan Polis Marin Takbai.
Penyerang yang tidak dikenali telah menggunakan senjata automatik dan bom paip ketika pertempuran tersebut. Selain daripada itu, tiang elektrik dan jerangkap samar digunakan bagi menghalang bantuan masuk oleh pihak berkuasa. – airtimes.my