Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Bapa bangga 2 anak tamat latihan tentera sekaligus

Bapa bangga 2 anak tamat latihan tentera sekaligus

by Air Times News Network

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=56FvznGypDQ[/embedyt]

 

PORT DICKSON, 27 Mei – “Saya berharap mereka (anak) dapat memikul tanggungjawab ini dengan penuh amanah dan bertanggungjawab demi negara, agama dan bangsa kita,” pesan Mohd Sobri Abdul Manab kepada kedua-dua anaknya.

Kedua-dua anaknya iaitu Muhamad Rabbani Sobri, 25, dan Ahmad Firdaus Sobri, 20, telah berjaya menamatkan latihan sebagai Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 194/2021 dan Wanita Siri 47/2021 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada Sabtu lalu.

“Pesanan saya kepada kedua-dua anak adalah, berikanlah komitmen yang tinggi kepada kerjaya kita kerana ia bukan sahaja periuk nasi, bahkan ia merupakan satu tanggungjawab kita kepada Allah SWT,

“Menjaga negara merupakan satu kewajipan kita bersama, lebih-lebih lagi dalam bidang ketenteraan,” kata Mohd Sobri, 63, ketika ditemui selepas Majlis Tamat Latihan Perajurit Muda di PUSASDA yang turut membabitkan 2 orang anaknya baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai sambutan perayaan Aidilfitri, beliau berkata, perayaan tahun ini adalah paling sedih kerana tidak dapat beraya dengan kedua-dua anaknya dan juga baru kehilangan arwah isteri setahun lepas.

“Menjaga negara merupakan satu kewajipan kita bersama, lebih-lebih lagi dalam bidang ketenteraan,” kata Mohd Sobri kepada kedua-dua anaknya

Beliau yang merupakan pesara guru berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang berkata, arwah isterinya, Norhayati Md Saat menghidap kanser 2 tahun lalu dan selalu menggalakkan anak-anaknya menyertai bidang ketenteraan untuk berkhidmat kepada negara.

Katanya, perasaan sedih tidak dapat digambarkan, tetapi bersyukur kerana kedua-dua anaknya telah berjaya menamatkan latihan perajurit muda selama 6 bulan.

“Saya berharap kedua-dua anak saya dapat memberikan yang terbaik kepada negara dan bangsa. InsyaAllah,” ujarnya.

Arwah Ibu pembakar semangat sertai tentera

Sementara itu, Perajurit Muda Muhamad Rabbani berkata, beliau bersyukur dan bangga kerana dapat menamatkan latihan di PUSASDA.

“Saya merasa bangga kerana saya dapat membuktikan umur saya ini tidak mustahil untuk memberikan komitmen dalam bidang ketenteraan,

Perajurit Muda Muhammad Rabbani menyeru kepada golongan muda untuk menceburi bidang ketenteraan supaya boleh menjaga keamanan dan kedaulatan negara

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada keluarga terutama sekali kepada arwah mak yang selalu memberi dorongan kepada saya dan adik untuk menceburi bidang ketenteraan,

“Kini saya hanya mempunyai seorang ayah yang selalu memberi dorongan kepada saya, abang-abang juga memberi sokongan kepada kami,” katanya.

Hormat menghormati tidak kira kaum

Manakala adiknya, Ahmad Firdaus berkata, semasa di PUSASDA semua Perajurit Muda diajar dan dititikberatkan amalan hormat menghormati antara satu sama lain tidak kira kaum dan bangsa.

“Pergaulan antara kaum-kaum semasa berada di PUSASDA, kami disini macam satu keluarga tidak kira kaum kerana tinggal bersama-sama, berkawan bersama-sama, tidak kisah. Kami disini seperti adik-beradik semuanya,

“Memang ramai berada didalam kompeni tetapi mereka selalu hormat-menghormati kaum sesama sendiri,” ujarnya lagi.

Perajurit Muda Ahmad Firdaus Sobri berkata, PUSASDA menitikberatkan amalan hormat menghormati antara satu sama lain tidak kira kaum dan bangsa

Umur bukan penghalang sertai tentera

Muhammad Rabbani menyeru kepada golongan muda untuk menceburi bidang ketenteraan supaya boleh menjaga keamanan dan kedaulatan negara.

“Pertama sekali yang mana berada diluar sana, anak-anak muda yang tidak mempunyai pekerjaan sekarang ini jika terdapat pembukaan pemilihan tentera masuklah,

“Umur saya sekarang ini pun telah lanjut tapi saya sahut cabaran, saya cuba dan akhirnya dapat juga menamatkan latihan,” jelasnya.

Katanya, bidang ketenteraan ini banyak mengajar kita dari segi disiplin dan erti tanggungjawab,

“Semasa saya berada dalam di zaman awam saya kurang mempunyai disiplin tapi setelah memasuki ketenteraan disiplin lebih tinggi,

“Semua di sini telah dilatih dari awal mula dari kita tidur sampai kita bangun, semuanya telah dilatih,” tegasnya.

Muhammad Rabbani dan Ahmad Firdaus antara 2,497 perajurit muda yang berjaya menamatkan Kursus Asas Latihan Tentera Darat pada acara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 194/21 dan Wanita Siri 47/21 di PUSASDA, pada Sabtu lalu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply