Home Pertahanan dan Keselamatan Atlet SUKMA bangga sertai tentera, rangkul Perajurit Muda Wanita Terbaik

Atlet SUKMA bangga sertai tentera, rangkul Perajurit Muda Wanita Terbaik

by Air Times News Network

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=sr0T44DToGg[/embedyt]

 

PORT DICKSON, 26 Mei – Seorang atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 telah berjaya menamatkan Kursus Asas Latihan Tentera Darat Malaysia (TDM) pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 194/21 dan Wanita Siri 47/21 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Sabtu lalu.

Perajurit Muda Wanita Terbaik, Nur Syafiqah Liyana Mohd Noor, 22, yang merupakan atlet olahraga berkata, beliau berbangga kerana dapat menamatkan latihan selama 6 bulan di PUSASDA.

Beliau yang merupakan anak ketujuh dari 8 orang adik-beradik mewakili SUKMA kontinjen Terengganu dalam acara pecut.

“Alhamdulillah, saya rasa gembira kerana dipilih sebagai Perajurit Muda Wanita Terbaik, semuanya hasil dorongan jurulatih, keluarga serta rakan-rakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui baru-baru ini.

“Saya memilih untuk menyertai TDM bagi memenuhi impian kedua ibu bapa dan demi masa depannya,” kata Perajurit Muda Nur Syafiqah Liyana

Menurut Nur Syafiqah, beliau memilih untuk menyertai TDM adalah bertujuan ingin memenuhi hasrat serta harapan kedua ibu bapa dan demi masa depannya.

“Sukan itu tidak akan lama kerana semasa muda kita dapat dorongan, tetapi bila sudah berumur mungkin lebih tinggi persaingan,” ujarnya.

Anugerah yang diterimanya itu telah disampaikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Sementara itu, Nur Syafiqah turut meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat pulang berhari raya bersama keluarga, kerana beliau perlu menghabiskan latihan bagi mencapai impian keluarga.

Terdahulu, seramai 2,497 perajurit muda telah berjaya menamatkan Kursus Asas Latihan Tentera Darat pada acara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 194/21 dan Wanita Siri 47/21 di PUSASDA. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!