BUKIT KAYU HITAM, 24 Mei – Tindakan seramai 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang menyusup masuk ke negara ini menerusi sempadan Malaysia-Thailand gagal apabila kesemua mereka ditahan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di kawasan ladang getah, awal pagi tadi.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) dalam kenyataan berkata, kesemua PATI berkenaan yang terdiri daripada 13 lelaki dan 25 wanita berusia antara 15 hingga 40 tahun itu ditahan pada pukul 5.45 pagi.
Jelas kenyataan itu, tangkapan telah dilakukan oleh Sepasukan anggota Serang dan Tangkap (SERKAP) yang mengesan kelibat sekumpulan orang awam sedang berjalan kaki dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota bertugas seterusnya bertindak menjejaki mereka dan berjaya menahan seramai 38 orang awam tersebut,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka adalah warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Kita merampas sebanyak 23 telefon bimbit dan wang tunai mata wang Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM10,498,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.
Markas 2 Div menjelaskan, pihaknya sentiasa mengawal sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan. -airtimes.my