Home Pertahanan dan Keselamatan Kalau Hishammuddin ada telur, sila bersemuka dengan veteran – Mior Rosli

Kalau Hishammuddin ada telur, sila bersemuka dengan veteran – Mior Rosli

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Penasihat Undang-Undang Suara Veteran, Mejar Mior Rosli TUDM (Bersara) mencabar Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien untuk mengadakan sesi dialog secara terbuka di Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi membincangkan permasalahan berkenaan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, dialog berkenaan harus dibuat secara terbuka di hadapan semua pegawai kanan MINDEF dan ia akan diwakili seramai 50 veteran yang dipilih.

“Saya tidak akan mohon berjumpa Menteri Kanan Pertahanan, kali ini jika beliau (Hishammuddin) anak jantan (ada telor), beliau jemput kami beramai-ramai di dalam Auditorium MINDEF,

“Kita buat dialog seperti Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Pastikan semua media dijemput hadir,” jelasnya dalam hantaran di laman Facebooknya semalam.

Mior menjelaskan, pihaknya hanya menyahut pelawaaan Menteri Kanan Pertahanan untuk bersemuka dan tidak pernah cuba untuk mengugut sesiapa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Hishammuddin yang mengingatkan kepada pesara ATM agar bersemuka dengan MINDEF sekiranya mempunyai pandangan atau keinginan yang ingin disampaikan berhubung isu kebajikan mereka.

Hishammuddin menjelaskan, tindakan berunsur ugutan tidak boleh diterima oleh pihaknya dan ia tidak sekalipun membantu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

“Bagi saya sebagai Menteri Pertahanan yang penting ialah untuk mendekati dan melibatkan diri secara langsung dan mereka yang betul-betul ikhlas untuk membela kebajikan veteran dan tak ada perkara yang saya tak sanggup lakukan kalau sekiranya hujah itu dibawa kepada saya secara bersemuka,

“Ugut-ugut ini semua tak jalan. Jadi kalau ada mana-mana pihak yang ada cadangan, pandangan, ada keinginan datang kepada MINDEF, cakap. (Kita) sentiasa terbuka,” jelas Hishammuddin.

Mengulas lanjut, Mior menegaskan, veteran tentera tidak pernah berniat untuk mengugut Hishammuddin atau sesiapa, tetapi hanya ingin berkumpul untuk menyatakan permasalahan dan tekanan hidup puluhan ribuan veteran tentera yang kini sedang berhadapan masalah.

“Kami belum lagi ugut kerajaan, sudah berapa kali kami jumpa Menteri Kanan Pertahanan dan pegawai-pegawainya mengadu hal veteran,

“Hishammuddin juga dengan angkuhnya menyatakan yang kementeriannya tidak akan meluluskan penyelarasan pencen veteran,

“Kami tidak pernah ugut Hishammuddin, tetapi jangan minta kami betul-betul ugut dia. Sebenarnya beliau sendiri yang ugut kami, gunakan gurka PVATM nak pecat keahlian veteran jika kami bangun bersuara,” tegasnya.

Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan pesara tentera ingin mengadakan perhimpunan aman di ibu negara pada 6 Jun depan.

Pengerusi Perhimpunan Aman Veteran ATM, Datuk Abdul Rahman Husain berkata, himpunan itu juga akan diadakan secara serentak di semua negeri bertujuan menyuarakan rasa tidak puas hati kepada kerajaan yang didakwa tidak menjaga kebajikan tentera berpencen, tidak berpencen dan diberhentikan.

Menurutnya, kebajikan kumpulan itu telah diperjuangkan selama 8 tahun namun sehingga kini 4 tuntutan yang dikemukakan tiada jawapan daripada kerajaan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!