KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 47,209 kes jangkitan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) sehingga Sabtu lalu dan ia sekaligus mencatatkan peningkatan 20 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan itu sudah dijangka berikutan pergerakan penduduk semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah kes terbesar iaitu 13,640 kes atau 28.9 peratus.
“Ini diikuti oleh Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 6,209 kes (13.1 peratus) manakala Perak pula merekodkan 4,099 kes (8.7 peratus),
“Manakala, Kelantan dengan 3,726 kes (7.9 peratus) dan Sabah 3,352 kes (7.1 peratus) manakala, negeri lain mencatatkan sekitar atau kurang daripada 2,500 kes,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dr Noor Hisham menjelaskan, kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 43,736 kes atau 93 peratus dan diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga 12 tahun iaitu 2,765 kes atau 6 peratus.
“Manakala selebihnya 1 peratus adalah di kalangan mereka yang berumur lebih 12 tahun iaitu 696 kes,
“Majoriti lokasi penularan wabak ini berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah iaitu 711 wabak (61 peratus), diikuti oleh rumah persendirian dengan 407 wabak (35 peratus) serta pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 42 wabak (3 peratus),
“Wabak dikira apabila terdapat 2 atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD,” jelas Dr Noor Hisham.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah sudah menjalankan sesi libat urus dengan agensi yang menyelia pengurusan taska, tadika dan pra-sekolah, selain mengeluarkan surat ‘alert’.
“Sesi libat urus ini sudah diadakan sejak ME 17/2022 berikutan peningkatan kes HFMD di kebanyakan negeri,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham memaklumkan, sehingga Sabtu, sebanyak 5,124 premis sudah diperiksa; premis diberi tunjuk ajar serta dipantau pelaksanaan disinfeksi (3,157) dan penutupan premis secara sukarela (41) serta 138 premis ditutup mengikut peruntukkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Orang ramai terutama ibu bapa yang mempunyai anak kecil dinasihatkan untuk tidak membawa anak ke tempat berisiko berlaku penularan jangkitan HFMD seperti taman permainan awam,
“Masyarakat juga dinasihatkan untuk melaporkan kejadian kes HFMD yang berlaku di taska, tadika dan sekolah kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan kawalan,” tegasnya. -airtimes.my