[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=sgECPD-V1bI[/embedyt]
PORT DICKSON, 21 Mei – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak akan sesekali berkompromi terhadap aktiviti penderaan dan penganiayaan dalam kalangan anggotanya.
Beliau berkata, TDM membenarkan anggota yang lebih lama untuk mengajar anggota yang baharu, tapi jika adanya aktiviti dera akan diambil tindakan.
“Penganiayaan dan deraan, sekarang kita (TDM) tidak ada lagi, ada tapi sangat minima,
“Sebab saya memang tegas, siapa anggota-anggota senior (lama) yang membuat penderaan kepada anggota baru masuk saya akan berhenti terus tanpa tunggu perbicaraan,
“Perbicaraan tengok dia bukti salah, tidak ada proses dan terus diberhentikan…itu akan memberi sedikit peringatan pada anggota lama supaya tidak membuat penganiayaan,
“Diajar kita benarkan, tapi penganiayaan kita akan ambil tindakan, tiada kompromi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TDM Lelaki Siri 194/21 dan Wanita Siri 47/21, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, kemasukan Perajurit Muda ke dalam TDM disokong sepenuhnya oleh keluarga, ini membuktikan dengan kehadiran ibu bapa ke perbarisan tamat latihan pada hari ini.
“Kalau mereka tidak disokong oleh keluarga, ibu bapa tidak akan tengok perbarisan, tapi kita dapat tengok sendiri hari ini bahawa kesemua mereka disokong dan direstui,” katanya.
Terdahulu, seramai 2,497 perajurit muda berjaya menamatkan Kursus Asas Latihan Tentera Darat pada acara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 194/21 dan Wanita Siri 47/21 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA).
Latihan bermula pada 26 November 21 hingga 21 Mei 22, bagi melahirkan Perajurit Muda yang berkeyakinan diri, berketerampilan, berdisiplin serta kompeten untuk mencapai kualiti sumber manusia yang terbaik sesuai dengan kehendak TDM. – airtimes.my