Home Pertahanan dan Keselamatan TLDM tahan tekong, 4 PATI Indonesia ceroboh perairan Johor Selatan

TLDM tahan tekong, 4 PATI Indonesia ceroboh perairan Johor Selatan

by Air Times News Network

PENGERANG, 20 Mei – Cubaan 4 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk menyusup masuk ke Malaysia melalui perairan Johor Selatan gagal apabila mereka ditahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan Tanjung Pengelih, malam tadi.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan berkata, kesemua PATI berumur antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan bersama seorang lelaki tekong warganegara Malaysia pada jam 9.30 malam.

“Aset TLDM FCB 1124 dan RHIB LEPAU yang sedang dalam penugasan Operasi Benteng (Op Benteng) Laut di bawah perintah kawalan KD HANDALAN telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sedang bergerak dari Pasir Gudang menuju ke arah Selat Singapura,

“FCB 1124 dan RHIB Lepau mengambil tindakan pantas dengan memintas bot tersebut dan berjaya ditahan di kedudukan 1 batu nautika Selatan Tanjung Pengelih,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Menurutnya, kesemua PATI dan tekong yang ditahan telah dibawa ke Jeti Pos Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pengerang dan diserahkan kepada APMM Tanjung Sedili untuk tujuan soal siasat serta tindakan selanjutnya.

Tambahnya lagi, hasil penyaluran maklumat yang pantas serta kolaborasi oleh kesemua agensi yang terlibat telah menggagalkan setiap cubaan pencerobohan negara baik di laut mahupun darat.

“ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara,

“TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada sebilang masa,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!