Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Impian pesakit leukimia jadi ‘pejuang muda’ TUDM tercapai

Impian pesakit leukimia jadi ‘pejuang muda’ TUDM tercapai

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Impian seorang kanak-kanak lelaki yang mengidap kanser Acute Lymphoblastic Leukemia (leukemia ALL) menjadi seorang juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) walaupun hanya sehari, akhirnya tercapai.

Hasrat Muhammad Irfan Mikail Mohd Shukri, 15 tahun untuk menjadi juruterbang itu telah dizahirkan oleh pihak Friend of Childhood-Cancer Northern (FOCCAN) yang menyampaikan hasrat ibu bapanya untuk memenuhi impian anak keempat mereka kepada TUDM.

Atas dasar keprihatinan dan empati, melalui No 15 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth dan bantuan Kolej Tentera Udara (KTU) telah mengkoordinasi bersama pihak FOCCAN melaksanakan tanggungjawab sosialnya bagi membantu menyampaikan hasrat dan impian seorang ‘pejuang muda’ yang berjuang melawan sakit kanser.

TUDM menerusi kenyataan berkata, adik Irfan yang diiringi ibu dan bapanya, Puan Mazatul Rohana Saleh dan Encik Mohd Shukri Talib didatangkan dari kediaman mereka yang tinggal di Lorong Haji Talib, Kampung Guar Syed Alwi, Kangar Perlis ke Pangkalan Udara Butterworth, semalam.

“Adik Irfan kemudiannya dibawa ke bilik persalinan dan disarungkan dengan ‘flying suit’,

“Setelah itu, taklimat lawatan dan pengenalan ringkas tentang skuadron yang mengoperasikan pesawat pejuang disampaikan oleh Pegawai Memerintah No 15 Skuadron, Leftenan Kolonel Hafiz TUDM yang mengiringi sepanjang lawatan,

“Sesi lawatan bermula dengan lawatan ke Hangar No 15 skuadron untuk melihat lebih dekat di samping bergambar bersama pesawat pejuang Hawk 108 dari No 15 Skuadron dan F/A18D dari No 18 Skuadron serta juruterbang dan kru pesawat,” jelas TUDM.

Tambah kenyataan itu, adik Irfan dan keluarga turut dipersembahkan dengan pengoperasian pesawat pejuang Hawk bermula dari pemeriksaan awal pesawat sebelum terbang, melihat pesawat berlepas dan kembali mendarat.

“Adik Irfan kemudiannya dibawa melawat ke Pusat Simulator Pejuang dan merasai pengalaman mengendalikan simulator F/A-18D,

“Lawatan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kenangan serta sumbangan kepada adik Irfan dan keluarga,” jelas TUDM.

Dalam masa yang sama, TUDM turut mendoakan agar adik Irfan beroleh kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan meminta agar semua turut mendoakannya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!