GEORGETOWN, 18 Mei – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan bot nelayan tempatan kelas C melanggar syarat sah lesen di kedudukan 4.6 batu nautika barat Kuala Sungai Pinangn pada Selasa.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot tersebut dikesan bergerak dalam keadaan gelap yang sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda oleh bot ronda APMM yang sedang melakukan rondaan Operasi Pertiwi/ Operasi Benteng pada jam lebih kurang 10.55 malam.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan kelas C berpangkalan di Batu Maung itu dikendalikan tekong warga tempatan berumur 51 tahun serta 3 kru warga Indonesia yang memiliki dokumen permaustatin tetap berumur antara 44 hingga 52 tahun berada di atas bot tersebut,
“Bot terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, bot berkenaan bersama tekong, 3 kru, peralatan menangkap ikan serta pelbagai hasil tangkapan ikan dianggarkan 100 kilogram (kg) disita dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. – airtimes.my