Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Lelaki 73 tahun antara 25 PATI Indonesia ditahan cuba ceroboh masuk Malaysia

Lelaki 73 tahun antara 25 PATI Indonesia ditahan cuba ceroboh masuk Malaysia

by Nurulhuda

KUCHING, 18 Mei – Seramai 25 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang warga emas berusia 73 tahun dari Indonesia berjaya diberkas ketika cuba masuk ke negeri ini secara haram, semalam.

Kesemua PATI itu ditahan ketika cuba diseludup masuk oleh 2 lelaki dan seorang wanita yang bertindak sebagai tekong, yang juga merupakan warganegara Indonesia melalui jalan ladang kelapa sawit Tetangga Akrab, kira-kira 7 kilometer dari arah sempadan.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) berkata, anggotanya telah mengesan 2 buah kenderaan dari arah Malaysia menuju ke sempadan Indonesia melalui jalan tersebut pada jam 1.30 petang.

“Pada jam 3.30 petang, serbuan telah dilakukan ke atas kenderaan terbabit yang dikesan berpatah balik dari Indonesia ke Malaysia,

“Hasil pemeriksaan mendapati 2 lelaki dan seorang wanita tersebut yang bertindak sebagai tekong cuba menyeludup masuk 13 lagi PATI dari Indonesia ke negara ini yang terdiri daripada 11 lelaki dan 2 wanita berusia 17 hingga 73 tahun menerusi laluan yang tidak sah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

2 buah kenderaan yang digunakan oleh tekong semasa cuba menyeludup masuk 13 PATI di ladang kelapa sawit Tetangga Akrab, kira-kira 7 kilometer dari arah sempadan, semalam.

Menurut 1 Div, kesemua individu tersebut bersama barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu untuk tindakan lanjut.

Manakala, nilai rampasan pula dianggarkan bernilai RM73,643 melibatkan 2 buah kenderaan, wang tunai serta 11 buah telefon bimbit.

Sementera itu, dalam serbuan berasingan, anggota petugas telah mengesan 9 individu mencurigakan di kawasan ladang kelapa sawit Rimbunan Hijau sekitar 150 meter dari sempadan sekitar jam 10.30 malam.

9 individu warga Indonesia yang diusir di kawasan ladang kelapa sawit Rimbunan Hijau sekitar 150 meter dari sempadan, malam tadi.

“Kesemua mereka ditahan dan hasil pemeriksaan awal mendapati mereka yang terdiri daripada 8 lelaki dan seorang wanita berusia sekitar 16 hingga 48 tahun itu PATI warga Indonesia yang cuba masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada barang terlarang yang dijumpai kecuali pakaian dan barangan peribadi yang disimpan di dalam beg,

“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu dan kesemua PATI telah dibuat pengusiran di Pos Semunying pada jam 1230 pagi,” tambah kenyataan itu.

Pihak 1 Div menjelaskan, Tentera Darat Malaysia (TDM) terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

“Ia terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak COVID-19,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!