Home Pertahanan dan Keselamatan APMM cekup 16 nelayan Vietnam curi hasil laut negara

APMM cekup 16 nelayan Vietnam curi hasil laut negara

by Air Times News Network

PASIR PUTEH, 17 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berjaya menahan 16 orang nelayan Vietnam dalam sebuah bot di kedudukan 45 batu nautika daripada muara Tok Bali, pada Jumaat lalu.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, pasukannya sedang melaksanakan rondaan Operasi (Op) Khas Pagar Laut 1/2022, Op Naga Barat dan Op Damai Siri 26/2022 telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

“Pengesanan bot dikesan pada jam 9.00 malam dengan struktur yang berbeza berbanding bot nelayan tempatan,

“Bot berkenaan memecut laju melarikan diri setelah menyedari kehadiran penguatkuasa,

“Bot tersebut melarikan diri sehingga tidak mampu bergerak dengan kelajuan maksimum serta kedudukan yang jauh dari sempadan negara berjaya ditahan selepas 30 minit diekori,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Tambah beliau, pemeriksaan dilakukan mendapati bot tersebut merupakan bot pukat tunda nelayan asing daripada Vietnam bersama 16 kru termasuk tekong berumur dalam lingkungan 19 hingga 55 tahun.

“Tekong juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan negara oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,

“Ianya disiasat dibawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan turut melanggar Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia,

“Penahanan 16 kru termasuk tekong, rampasan bot peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi, hasil tangkapan ikan campur lebih kurang 2,000 kilogram (kg) dan ikan baja lebih kurang 1,000 kg,” ujarnya.

Menurutnya, nilai rampasan keseluruan dianggarkan RM1.55 juta dan kesemua kru akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Proses membawa balik bot tahanan telah mengambil masa hampir 13 jam sebelum tiba di Jeti APMM Kelantan pada jam 10.00 pagi Sabtu untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat,

“Kesemua 16 kru telah menjalani saringan COVID-19 dan didapati negatif,” tambahnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!