Home Semasa Sambut PM bagaikan wira, ‘pesta’ kepulangan satu ‘jenaka’ – Hannah Yeoh

Sambut PM bagaikan wira, ‘pesta’ kepulangan satu ‘jenaka’ – Hannah Yeoh

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mengkritik tindakan pengarahan orang ramai untuk menyambut kepulangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekembalinya dari Amerika Syarikat (AS).

“Melainkan kamu memenangi Piala Dunia atau membawa pulang pingat emas dalam Sukan Olimpik… mengadakan ‘pesta’ menyambut kepulangan adalah satu jenaka,

“Apakah jenis pembantu (yang) diupah oleh Perdana Menteri kita untuk melakukan gimik kosmetik yang bodoh,” katanya dalam catatan Facebooknya malam tadi.

Yeoh berkata demikian bagi mengulas video yang dimuat naik di media sosial rasmi milik Perdana Menteri yang memaparkan Ismail Sabri turun dari pesawat di Pangkalan Udara Subang, pada Sabtu.

Ismail Sabri disambut oleh orang ramai yang berbaris sebaik sahaja memasuki terminal berkenaan. Mereka dilihat bertepuk tangan, menyanyi dan berjabat tangan dengan Perdana Menteri itu.

Turut kelihatan sepanduk bertulis ‘DSIS, wira kita yang tidak didendang’ dan ‘Malaysia berada di landasan yang betul di bawah kepimpinan DSIS’ serta ‘Thank yo PM DSIS less talk, more action’.

Terdahulu, Bernama melaporkan kira-kira 400 orang terdiri daripada kepimpinan UMNO, mahasiswa dan belia telah hadir menyambut kepulangan Perdana Menteri.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid.

Sementara itu, dalam hantaran di Facebook rasminya, Ismail Sabri turut meluahkan rasa terkejut dengan sambutan yang diterimanya sekembali dari AS.

“Tak sangka, ramai yang ada di sini menyambut ketibaan saya. Hilang rasa penat selepas perjalanan yang panjang apabila dapat bertemu dengan semua,

“Terima kasih kepada semua yang hadir yang terdiri daripada kepimpinan Umno, para mahasiswa dan belia serta Keluarga Malaysia yang mendoakan keselamatan kepulangan kami pagi ini,” ujar Ismail Sabri.

Ismail Sabri berada Washington DC, AS untuk menghadiri Sidang Kemuncak Khas AS-Asean bermula pada Khamis lalu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!