BUKIT KAYU HITAM, 14 Mei – Seramai 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan Tentera Darat Malaysia (TDM) ketika cuba melintasi sempadan Malaysia-Thailand di kawasan ladang getah, padi tadi.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) berkata, kesemua PATI ditahan kira-kira jam 9.30 pagi di sektor Operasi Benteng (Op Benteng) kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.
Menurutnya, kehadiran PATI tersebut dikesan oleh Tim Serang dan Tangkap (SERKAP) yang telah melihat sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan kaki merentas sempadan negara.
“Anggota bertugas telah bertindak menahan kesemua orang awam tersebut seramai 49 orang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya adalah warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan berumur di antara 15 hingga 48 tahun terdiri daripada 37 lelaki serta 12 perempuan.
“Turut dirampas adalah 37 buah telefon bimbit, wang tunai dalam matawang Malaysia, Thailand dan Myanmar serta 2 beg pakaian dengan anggaran nilai keseluruhan RM15,878,
“Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam,” ujarnya. – airtimes.my