Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Walau ditolak Presiden UMNO, PAS tetap teruskan agenda penyatuan ummah

Walau ditolak Presiden UMNO, PAS tetap teruskan agenda penyatuan ummah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Mei – PAS bertegas tidak akan bersama dengan pihak yang terbukti bersalah melakukan tindakan pecah amanah, salah guna kuasa serta mengamalkan rasuah dalam kepimpinan.

Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, agenda Penyatuan Ummah yang dibawa PAS tetap akan diteruskan walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak penyatuan itu.

“PAS memberi jaminan bahawa PAS akan teruskan agenda penyatuan ummah ini meskipun Presiden UMNO menolak secara total agenda penyatuan ini,

“Untuk pemimpin UMNO yang masih yakin bahawa PAS dan UMNO adalah tawaran terbaik buat rakyat Malaysia, kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan untuk teruskan agenda ini,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Menurut Khairil Nizam, agenda penyatuan ummah itu merupakan agenda yang perlu dibawa bersama demi kesejahteraan dan kegemilangan Keluarga Malaysia.

Jelasnya, PAS akan terus dengan prinsip Islam Memimpin, Keadilan untuk Semua, dan Ummah sebagai Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum serta agama yang tidak ekstrim melawan Islam.

“PAS tetap dengan pendirian negara mestilah dipimpin oleh pemimpin Melayu Islam selaku kelompok majoriti dalam usaha membangunkan negara yang adil dan makmur,

“Jurang perpaduan nasional, kesenjangan ekonomi yang ketara antara masyarakat luar bandar dan masyarakat bandar, serta landskap politik negara yang bercelaru adalah antara masalah rakyat yang timbul akibat daripada lemahnya kuasa politik umat Islam di negara ini,” tambahnya.

Justeru, Khairil Nizam mengajak semua parti Islam dan Melayu duduk semeja dan memikirkan nasib generasi umat Islam di negara ini.

“Seruan itu bagi memastikan nasib umat Islam lebih terpelihara serta dibela dari sudut pendidikan, ekonomi, sosial dan politik berteraskan kepada peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara,” jelasnya.

Khairil Nizam turut berterima kasih kepada semua pemimpin politik negara yang berjiwa besar serta terus komited dalam agenda Penyatuan Ummah.

“Agenda penyatuan Ummah itu diakui keberkesananya seperti yang dapat lihat di Kedah, Perak, Selangor dan Pahang,

“Semangat kebersamaan ini juga dilihat kukuh diperingkat akar umbi meskipun pada masa yang sama ada segelintir pemimpin yang makin hilang kepercayaan serta telah putus harapan kepada usaha murni ini,

“Tahniah buat semua barisan kepimpinan PAS dan UMNO di negeri-negeri tersebut dan juga untuk Perdana Menteri kita yang sentiasa terbuka menyokong penyatuan ummah dalam kalangan umat Islam di Malaysia,” tambah Khairil Nizam. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!