Home Semasa Pub, kelab malam dibenar beroperasi Sabtu ini

Pub, kelab malam dibenar beroperasi Sabtu ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Pub dan kelab malam berlesen dibenarkan kembali beroperasi berkuat kuasa pada Sabtu ini (12 Mei 2022).

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan, protokol pengoperasian pusat hiburan tersebut telah dimuat naik di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di asset.mkn.gov.my.

“Operasi pub dan kelab malam berlesen yang dikategorikan dalam senarai negatif telah dihentikan operasi selama hampir 2 tahun akibat pandemik COVID-19,

“Berdasarkan kepada pengumuman daripada kerajaan tersebut, ia turut memberikan isyarat kepada industri-industri ini untuk turut mula beroperasi semula,” jelas kenyataan itu.

KPKT berkata, pihaknya menyeru agar semua pemain industri pub dan kelab malam berlesen dapat mematuhi perkara-perkara penting yang telah digariskan dalam protokol tersebut bagi mengekang penularan kes positif COVID-19 dalam fasa transisi ke endemik ini.

Sementara itu, KPKT turut mengeluarkan garis panduan yan disenaraikan di bawah Protokol Operasi Pub dan Kelab malam Berlesen yang berkuat kuasa Sabtu ini.

Antara garis panduan tersebut adalah termasuk memastikan pelanggan kelab hiburan perlu menjalani ujian pantas antigen (RTK-Ag) COVID-19 kendiri dalam tempoh 24 jam sebelum memasuki premis berkenaan.

Tambahnya, pihak bertanggungjawab terhadap premis, hendaklah memastikan keputusan ujian COVID-19 pelanggan adalah terkini dan berstatus negatif.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, senarai negatif di bawah prosedur operasi standard (SOP) MKN akan digugurkan mulai 15 Mei ini dan kelab malam merupakan satu-satunya perniagaan di bawah senarai negatif yang dihentikan operasinya sejak permulaan pandemik pada Mac 2020.

Menurut KPKT, protokol pengoperasian pub dan kelab malam berlesen dikeluarkan sebagai rujukan kepada semua pemain industri berkaitan setelah mendapat pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Jelasnya, protokol tersebut mengambil kira faktor risiko penularan jangkitan COVID-19 yang tinggi di pub dan kelab malam memandangkan premis berkenaan adalah ruang tertutup dengan ventilasi yang tidak mencukupi, penjarakan fizikal yang sukar dipatuhi dan tidak dapat mengamalkan pemakaian pelitup muka sepenuhnya.

Antara protokol yang perlu dipatuhi termasuklah pelanggan perlu sentiasa memakai pelitup muka semasa berada dalam premis kecuali semasa aktiviti makan, minum dan menari.

“Kapasiti premis yang dibenarkan adalah 100 peratus termasuk ruang tari, manakala waktu operasi adalah mengikut syarat lesen dan permit pihak berkuasa tempatan,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!