Home Semasa Debat Perdana: Najib bersarung tangan tinju, sedia jumpa Anwar di gelanggang

Debat Perdana: Najib bersarung tangan tinju, sedia jumpa Anwar di gelanggang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Selepas sekian lama menunggu, Debat Perdana membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya membuka gelanggang dari Auditorium Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) di ibu negara, malam ini.

Debat bersejarah itu dijangka mengupas pelbagai isu panas berkaitan negara terutama syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd perlu diselamatkan atau sebaliknya dan lain-lain.

Selain itu, Anwar dan Najib turut dijangka membincangkan isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.

Daripada Najib, Anwar sehinggalah kepada penyokong kedua-dua belah pihak, semua persiapan telah dilakukan menjelang pembukaan gelanggang debat itu.

Tidak ketinggalan kedua-dua figura itu menyatakan kesediaan untuk berentap menerusi hantaran di media sosial masing-masing.

Najib dalam laman Facebooknya hari ini telah memuat naik sekeping gambar sarung tangan peninju, malah menunjukkan kesediaan untuk turun ke gelanggang malam ini.

“Ready. Jumpa di gelanggang,” tulis Najib dalam hantaran di akaun media sosialnya pada Khamis.

Hantaran tersebut mencuri perhatian warganet, yang dilihat tidak sabar untuk menyaksikan ‘tumbukan’ yang bakal dibuat oleh Najib pada pertarungan malam ini.

Manakala, Anwar yang juga Presiden PKR semalam menerusi hantaran di Instagramnya telah membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mencadangkan soalan yang bakal dikemukakan kepada Najib.

Cabaran debat itu tercetus selepas Najib dan Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli saling berbalas pandangan dan kritikan di media sosial berhubung isu kewajaran bailout (menyelamatkan) Sapura Energy.

Orang ramai boleh mengikuti debat berkenaan di saluran televisyen Astro Awani, Facebook Sinar Harian, Malaysia Gazette dan Sin Chew Daily. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!