Home PolitikBarisan Nasional Usia 76 tahun: UMNO terus perjuang agama, bangsa dan tanah air

Usia 76 tahun: UMNO terus perjuang agama, bangsa dan tanah air

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Hari ini, genap 76 tahun usia UMNO menjadi sebuah parti yang terus kukuh dalam perjuanganya untuk agama, bangsa dan tanah air.

Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO masih kekal dalam semangat dan jati diri parti politik terbesar orang Melayu berpaksi degap demi rakyat, demi negara.

“Masih diingati selepas 9 Mei 2018 UMNO cuba dikhabarkan telah tiada, tidak lagi relevan, malah UMNO dituduh tiada hala tuju,

“Presiden barunya ditekan agar membubarkan parti, pimpinan dan ahlinya yang setia diasak supaya menyerah berpaling tadah,

“Alhamdulillah berkat ketentuan Yang Maha Esa bersama kita bertahan, kita menentang dan kita bangkit dengan penuh hikmah serta bijaksana,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.

Beliau berkata, UMNO mara tanpa mengheret rakyat ke kancah kekalutan dan huru hara, UMNO bergerak seiring menjulang erti sebenar demokrasi.

“Mendepani usia 76 tahun menjadikan UMNO semakin matang dan hebat penuh pengalaman serta pengetahuan,

“Ujian dan pancaroba baharu membuatkan UMNO lebih berketerampilan dan ke hadapan. Anasir perpecahan yang cuba disuntik gagal mengoyah kemuafakatan dan kesatuan para pendokongnya,

“Sebaliknya menjadikan UMNO lebih memahami betapa penting parti keramat agama, bangsa dan negara ini dipertahankan,” ujarnya.

Katanya, selagi ada kudrat dan upaya izin Allah SWT, beliau selaku Presiden UMNO akan memastikan kebangkitan ini tidak sesekali terpadam.

“UMNO akan terus mara walau apa rintangan serta halangan demi mengangkat kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!