Home Semasa 2 kampung di Janda Baik dilanda banjir kilat, 42 keluarga berpindah

2 kampung di Janda Baik dilanda banjir kilat, 42 keluarga berpindah

by Nurulhuda

BENTONG, 11 Mei – Hujan lebat yang tidak berhenti sejak dari jam 2 pagi menyebabkan beberapa kawasan di Janda Baik dan jalan terkandas serta tidak boleh dilalui.

Antara kampung terjejas teruk termasuk Kampung Sum Sum, Kampung Pulau Santap dan Kampung Chemperoh.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.37 pagi dan bergerak ke lokasi.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari JBPM Bentong dibantu pasukan bomba sukarela (PBS) berjaya memindahkan 12 keluarga yang terbabit dalam kejadian itu.

“Setakat ini terdapat 2 perkampungan utama iaitu Kampung Sum Sum dengan 12 keluarga telah berpindah. 3 keluarga daripadanya diselamatkan anggota bertugas,

“Sementara di Kampung Chemperoh pula, sebanyak 30 keluarga telah berpindah sendiri selepas perkampungan itu Mula dinaiki air pada awal pagi tadi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pasukan bomba telah menjalankan operasi penyelamatan melibatkan 3 keluarga di Kampung Sum Sum namun alami kesukaran kerana ada pokok tumbang menghalang ke lokasi kejadian menyebabkan 2 unit gergasi rantai digunakan memotong pokok terbabit.

Ismail menjelaskan, operasi menyelamat mengambil sedikit masa untuk tiba kerana terdapat pokok tumbang di jalan masuk ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun, pihaknya telah memotong pokok tumbang yang menghalang jalan bagi memudahkan operasi tersebut.

“Terdapat juga tanah runtuh di jalan masuk ke Janda Baik dan di antara Kampung Sum Sum ke Kampung Chemperoh. Jalan itu terpaksa ditutup untuk kerja-kerja pembersihan batu dan lumpur,

“Operasi pemantauan di sekitar 4 buah kampung di Janda Baik sedang diteruskan sehingga kini,” tambahnya. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!