KUALA LUMPUR, 10 Mei – Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai terma penyelesaian dan jumlah pampasan berkaitan saman yang difailkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta kerajaan Malaysia.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Muda Malaysia, Akif Rusli berkata, penyelesaian itu menimbulkan beberapa persoalan kerana terdapat dakwaan pihak UMNO bahawa kebenaran memihak kepada Mohamed Apandi.
“Ini tidak benar. Penyelesaian itu dilakukan tanpa merujuk terma kepada Tun Mahathir yang merupakan Anakguam kepada Jabatan Peguam Negara,
“Tempoh penyelesaian itu juga melibatkan sejumlah wang yang terlalu tinggi yang diberikan kepada Mohamed Apandi,
“Rakyat perlu tahu jumlah pampasan dan mengapa kerajaan Malaysia bersetuju untuk membuat pembayaran. Wang itu milik rakyat. Adakah ini berlaku kerana Mohamed Apandi mempunyai hubungan dengan UMNO?” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohamed Apandi memfailkan saman pada 13 Oktober tahun lalu, terhadap Tun Mahathir dan kerajaan berhubung penamatan kontrak bekas Perdana Menteri itu sebagai Peguam Negara.
Pada 13 April, media melaporkan bahawa saman itu telah diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Mahkamah pada mulanya menetapkan 18, 20, 21 dan 22 April tahun ini untuk mendengar saman itu.
Akif turut menjelaskan, penyelesaian itu jelas dilakukan mengikut arahan daripada individu tertentu.
“Adakah campur tangan daripada pentadbiran tertinggi UMNO? Ini memerlukan penjelasan daripada kerajaan Malaysia dan Idris sendiri,” ujarnya.
Tambahnya, pemberhentian kontrak Apandi Ali amat berbeza dengan keadaan pemecatan Tan Sri Abdul Gani Patail.
“Dalam tempoh satu hari, pemecatan itu dilakukan dalam keadaan yang tergesa-gesa. Lebih-lebih lagi ketika beliau sedang meneliti kertas siasatan kes 1MDB yang melibatkan Najib Razak,
“Hubungan Mohamed Apandi dengan UMNO tidak berakhir dengan peletakan jawatannya pada 1991 kerana terdapat video viral beliau bersama-sama pemimpin Umno menari riang ketika beliau menjadi Peguam Negara,” jelasnya.
Minggu lalu, Dr Mahathir melahirkan rasa tidak puas hati berikutan langkah kerajaan menyelesaikan saman yang difailkan Mohamed Apandi di luar mahkamah.
Tun Mahathir berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai syarat penyelesaian walaupun menjadi saksi utama dalam kes itu. -airtimes.my