KUALA LUMPUR, 10 Mei – Tindakan seorang individu menghalang dan menggangu anggota polis yang sedang mengiring orang kenamaan menerima padah, apabila ditahan reman selama 4 hari bagi membantu siasatan melibatkan kejadian di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala ke susur masuk Sultan Abdul Halim, pada Jumaaat lalu.
Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek sebelum ini diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi pada Sabtu.
“Suspek berumur 36 tahun yang merupakan lelaki warga tempatan itu diberkas kira-kira jam 1.30 petang,
“Siasatan mendapati, suspek yang memandu sebuah kereta telah menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya dengan memandu secara gopoh,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (Menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya) dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan (Memandu dtau menunggang dengan gopoh di jalan awam).
Dalam masa yang sama, beliau turut memberi amaran kepada orang awam agar tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggar undang-undang.
“Tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” tambahnya. -airtimes.my