Home Semasa Ismail Sabri ke AS hadir Sidang Kemuncak Khas ASEAN Khamis ini

Ismail Sabri ke AS hadir Sidang Kemuncak Khas ASEAN Khamis ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan kerja ke Washington D.C, Amerika Syarikat (AS) pada 12 dan 13 Mei ini.

Beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke negara itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dalam lawatan kerja itu.

Turut serta dalam delegasi itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pegawai kanan Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Menurut Wisma Putra, semasa Sidang Kemuncak Khas itu, Ismail Sabri dan pemimpin ASEAN lain dijadualkan menyertai beberapa siri mesyuarat serta perbincangan dengan Presiden serta Naib Presiden AS.

“Program lain yang diaturkan AS ialah sesi bersama Kepimpinan Kongres, beberapa anggota Kabinet dan pemimpin perniagaan negara itu,

“Sidang Kemuncak Khas ini diadakan sempena ulang tahun ke-45 Hubungan Dialog ASEAN-Amerika Syarikat,

“Ia merupakan landasan strategik bagi ASEAN dan AS mengkaji serta meneroka bidang kerjasama yang pragmatik bagi memperkukuh kerjasama sedia ada,” kata Wisma Putra, hari ini.

Tambahnya, sidang Kemuncak Khas itu dijangka membincangkan antara lain isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, kerjasama ekonomi, COVID-19 dan keselamatan kesihatan, perubahan iklim serta tenaga bersih.

“Ia juga dijangka menghasilkan kenyataan visi bersama yang menggariskan komitmen dan aspirasi untuk meningkatkan kerjasama ASEAN-Amerika Syarikat demi keamanan, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran bersama yang berterusan,

“Ketika di Washington D.C, Perdana Menteri turut dijadualkan menghadiri sambutan Hari Raya Keluarga Malaysia dan berjumpa dengan diaspora Malaysia,” tambah Wisma Putra. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!