Home SemasaGlobal China tingkatkan operasi tempur ketenteraan berhampiran Taiwan

China tingkatkan operasi tempur ketenteraan berhampiran Taiwan

by Air Times News Network

SHANGHAI, 9 Mei – Tentera China terus menjalankan latihan ketenteraan bagi meningkatkan operasi tempur bersama berhampiran Taiwan minggu lalu, kata Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), hari ini.

Menurut laporan Reuters, Taiwan mendakwa semenjak 2 tahun lalu, China selalu melakukan aktiviti ketenteraan di selatan dan barat daya Zon Pengenalpastian Pertahanan Udara (ADIZ) negaranya.

Pada Jumaat lalu, Tentera Udara Taiwan telah memberi amaran kepada 18 pesawat China yang menceroboh masuk ADIZ negara itu pada Sabtu dan Ahad, namun dengan jumlah pesawat yang lebih kecil.

Pusat Pemerintahan Timur PLA dalam satu kenyataan berkata, aset tentera laut dan udaranya menjalankan latihan dari Jumaat hingga Ahad di timur serta barat daya Taiwan bagi menguji lebih lanjut dan meningkatkan keupayaan tempur bersama serta senjata tentera mereka.

Kementerian Pertahanan Taiwan pula memaklumkan, antara aset China yang dikesan digunakan dalam latihan itu adalah pesawat pengebom, jet pejuang dan pesawat antikapal selam.

Tiada sebarang tembakan dilepaskan dan pesawat China tidak terbang di dalam ruang udara Taiwan, namun terbang di ADIZ, iaitu kawasan yang dipantau dan dikawal Taiwan, yang berfungsi untuk memberi lebih masa kepada negara itu bertindak balas terhadap sebarang ancaman.

Pada masa sama, Taiwan juga telah menjalankan latihan peluru berpandu di luar pantai selatan dan tenggaranya minggu lalu.

China tidak pernah menafikan penggunaan kekerasan untuk memastikan Taiwan berada di bawah kawalannya, dan Selat Taiwan kekal berpotensi menjadi lokasi pertempuran antara tentera.

Kerajaan Taiwan menolak tuntutan kedaulatan China ke atasnya, dengan menegaskan negara dengan 23 juta penduduk itu berhak menentukan masa depan mereka.

Minggu lalu, Jepun melaporkan 8 kapal tentera laut China, termasuk kapal induk pesawat udara, melintasi antara kepulauan di Okinawa di selatan Jepun, sehingga ke timur laut Taiwan.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!