TELUK RAMUNIA, 8 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia telah berjaya memintas sebuah bot membawa 9 Pendatang Asing Tanpa Izin di perairan Johor Selatan.
Kejadian berlaku pada pukul 9.45 malam di selatan Teluk Ramunia.
TLDM dalam satu kenyataan berkata, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) telah mengesan kehadiran bot curiga berkelajuan tinggi bergerak dari Pulau Batam, Indonesia dan disyaki menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor.
“Area Control Centre (ACC) Johor telah menyalurkan maklumat pencerobohan kepada aset TLDM KD GANYANG di lapangan untuk tindakan lanjut,
“KD GANYANG seterusnya telah mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1123 dan bot pemintas RHIB LEPAU bagi memintas bot tersebut,” kata TLDM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Menurutnya, bot terbabit cuba meloloskan diri setelah menyedari kehadiran aset-aset TLDM.
“Hasil kecekapan serta tindak balas pantas oleh FCB 1123 dan RHIB LEPAU telah berjaya mengagalkan cubaan tersebut dan memberkas PATI tersebut di lokasi 1.5 batu nautika selatan Teluk Ramunia,
“PATI yang diberkas telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan diserahkan kepada Tim Op MERPATI untuk soal siasat dan ujian saringan COVID-19,” katanya.
Jelas TLDM, kesemua 9 PATI yang ditahan adalah terdiri daripada 8 lelaki dan seorang wanita yang dipercayai warga Indonesia dalam likungan usia 20-an hingga 30-an. – airtimes.my
Galeri gambar: