Home Semasa Dakwaan Pengerusi PKR Terengganu tambang ECRL 6 kali ganda tidak berasas

Dakwaan Pengerusi PKR Terengganu tambang ECRL 6 kali ganda tidak berasas

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Dakwaan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkenaan tambang perkhidmatan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) 6 kali ganda lebih tinggi berbanding tiket penerbangan adalah bersifat spekulatif dan langsung tidak berasas.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perbincangan masih berjalan di peringkat kerajaan bagi menetapkan kadar tambang penumpang ECRL untuk setara berbanding kadar yang dikenakan perkhidmatan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Pantai Barat Semenanjung.

“Sepertimana yang diketahui, kadar tambang ETS adalah amat berpatutan dan lebih rendah berbanding kadar tiket pesawat bagi laluan dan destinasi di Pantai Barat Semenanjung,

“Penetapan kadar tambang ECRL berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat,

“Secara dasarnya, kadar tambang yang ditetapkan kelak akan memastikan ECRL terus berdaya saing dengan harga berpatutan dan dalam masa sama berupaya menanggung kos pengoperasian serta penyelenggaraan. Apa yang paling penting, ia tidak akan membebankan para pengguna,” katanya dalam hantaran di media sosialnya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, kerajaan juga tidak berhasrat untuk mengenakan tambang tinggi bagi perkhidmatan penumpang bagi memperoleh semua kos pembinaan ECRL memandangkan ini adalah projek untuk rakyat yang sudah pasti tidak membebankan.

“Malah, menerusi perkhidmatan pengangkutan kargo bagi kegunaan industri-industri, perkilangan dan pembuatan dijangka menjana lebih 70 peratus daripada sumber pendapatan ECRL apabila ia bakal beroperasi pada tahun 2027 kelak,” jelasnya.

Katanya, struktur tambang ECRL perlu mendapatkan kelulusan kerajaan sebelum ia beroperasi selaras dengan keperluan Akta Pengangkutan Awam Darat dan Lesen Operator Keretapi di bawah bidang kuasa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebagai pengawal selia.

Kos Projek ECRL sepanjang 665 kilometer melibatkan 59 terowong dianggarkan mencecah RM50.27 bilion itu merangkumi kerja-kerja pembinaan di 4 negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Projek itu dijangka siap pada akhir 2026 dan beroperasi pada 2027. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!