PARIT BUNTAR, 30 Apr – Cubaan kira-kira 143 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk etnik Rohingya, Myanmar dan Bangladesh yang cuba menceroboh masuk ke negara ini melalui perairan Kuala Kurau gagal, apabila kesemua mereka berjaya diberkas anggota keselamatan pada Sabtu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, kesemua mereka itu ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) pada jam 7 pagi hingga 12.30 tengah hari tadi.
Menurutnya, seramai 86 PATI ditahan ketika berada di atas bot, manakala selebihnya berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri dengan terjun dari bot dan berenang ke darat.
“Kesemua mereka itu dipercayai tiba dari Myanmar dan berusia di antara 5 hingga 40 tahun,
“Berdasarkan maklumat awal, mereka ini tidak merancang untuk mendarat di Kerian, malah kes ini juga tiada kaitan dengan tahanan Imigresen yang lolos di Pulau Pinang,
“Kesemua tangkapan akan dibawa dan ditempatkan sementara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian,” katanya.-airtimes.my