Home Pertahanan dan Keselamatan Agong, Permaisuri berbuka puasa bersama warga ATM

Agong, Permaisuri berbuka puasa bersama warga ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Apr – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pada Selasa.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di Masjid Khalid Al-Walid, telah disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM.

Markas ATM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, majlis sempena Ramadan Al-Mubarak yang dihadiri sejumlah 800 orang warga ATM diadakan tahun ini setelah ia tidak dapat dilaksanakan sejak 2 tahun sebelum ini akibat penularan pandemik COVID-19.

Sempena majlis ini juga, Seri Paduka Baginda turut berkenan menunaikan solat magrib yang diimamkan oleh Mejar Dr Muhammad Syukri Zahari bersama warga ATM serta tetamu jemputan lain.

Turut mengiringi, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Dalam majlis yang sama, Panglima Angkatan Tentera dan isteri Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hjh Tengku Muhaini Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 200.00 kepada para pelajar Sekolah Tahfiz dan Anak Yatim ATM (STAY) serta anak-anak yatim dari kalangan warga ATM yang turut dijemput hadir pada majlis tersebut. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!