Home Semasa SUHAKAM gesa kerajaan keluarkan kad UNHCR kepada pelarian Rohingya

SUHAKAM gesa kerajaan keluarkan kad UNHCR kepada pelarian Rohingya

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 25 Apr – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa kerajaan untuk memberi kebenaran kepada Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) mengeluarkan kad UNHCR kepada semua pelarian etnik Rohingya.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) SUHAKAM, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, kad UNHCR itu perlu dikeluarkan terutamanya kepada etnik Rohingya yang terlibat dalam rusuhan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Rabu lalu.

“Program penempatan semula UNHCR dicadangkan untuk mengutamakan pelarian Rohingya dalam aspirasi kearah penyelesaian jangka panjang, dalam bentuk penempatan semula ke nagara ketiga,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Beliau menggesa kerajaan untuk menubuhkan badan bebas yang terdiri daripada wakil-wakil selain daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyiasat kejadian tersebut.

Mengulas lanjut, Noor Aziah juga menggesa kerajaan tidak menghukum pelarian Rohingya yang ditangkap semula atau menimbulkan ketakutan serta kebencian dalam kalangan penduduk tempatan di Relau terhadap pelarian yang masih bebas.

“Kerajaan perlu melibatkan kanak-kanak Rohingya dalam projek rintis alternatif kepada penahanan kerana kanak-kanak ini mempunyai hak untuk hidup dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif,

“Menambah lebih ramai kakitangan di depot imigresen yang kekurangan kakitangan,” ujarnya.

Noor Aziah menzahirkan rasa sedih kerana 6 orang pelarian dari Myanmar termasuk 2 kanak-kanak maut ketika cuba menyeberangi lebuh raya semasa 542 pelarian melarikan diri dari depot tersebut pada 20 April lalu.

Menurut Noor Aziah, berdasarkan pemerhatian CC semasa lawatan pemantauannya di pusat tahanan imigresen di Lenggeng, depot didapati sesak dengan tahanan, dan di Lenggeng, Langkawi serta Belantik didapati kekurangan kakitangan.

“Kebanyakan tahanan migran dihantar pulang ke negara asal melalui campur tangan wakil kedutaan negara masing-masing, namun pelarian Rohingya di Malaysia tidak dapat pulang ke Myanmar kerana peruntukan di bawah undang-undang adat antarabangsa,

“Prinsip non-refoulement memberi jaminan bahawa tiada sesiapa harus dihantar pulang ke negara asal mereka jika mereka akan mengalami penindasan,” jelasnya.

Katanya, Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, tetapi Malaysia merupakan sebuah negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) 1989.

“Perkara 22 CRC menyatakan bahawa negara pihak harus memastikan kanak-kanak yang mencari status pelarian, atau kanak-kanak yang telah disahkan sebagai pelarian hendaklah diberikan perlindungan dan bantuan kemanusiaan yang sewajarnya,

“Di samping itu, kanak-kanak pencari suaka atau yang telah diberikan status pelarian berhak untuk mendapat hak mereka di bawah 4 prinsip utama CRC yang menyatakan bahawa kanak-kanak tidak boleh didiskriminasi, perlu dilayan dengan kemanusiaan dan rasa hormat, suara mereka harus didengari serta kepentingan terbaik kanak-kanak harus diberi keutamaan,” ujarnya lagi. – airtimes.my

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!