KUALA LUMPUR, 25 Apr – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dalam 4 serbuan berasingan di sekitar negeri Selangor serta Johor pada 22 sehinga 23 April lalu.
Pengarah JSJN, Komisioner Polis Datuk Ayon Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan yang dilakukan dengan kerjasama JSJN Selangor dan Johor itu berjaya menahan seramai 4 lelaki Cina berumur 25 hingga 29 tahun.
“Kesemua suspek yang ditahan terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah jenis syabu bagi pasaran tempatan serta antarbangsa,
“JSJN berjaya merampas dadah jenis syabu berjumlah 287 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM10.3 juta,” katanya dalam sidang media di Dewan Theatrette Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata, serbuan pertama telah dilakukan di Puchong dan berjaya menahan seramai 2 suspek.
“Suspek pertama berusia 25 tahun yang merupakan seorang jurulatih renang dan suspek kedua berusia 29 tahun merupakan seorang penganggur,
“Serbuan kedua telah dilakukan di kawasan yang sama dan berjaya merampas syabu tersebut,” ujarnya
Dalam pada itu, susulan daripada tangkapan tersebut, JSJN telah melakukan 2 serbuan di Johor dan berjaya menahan 2 suspek berusia 26 tahun.
Beliau menjelaskan dadah yang dirampas mampu menampung bagi pengguna dadah seramai 1.4 juta penagih.
“Modus operandi yang digunakan oleh sindiket tersebut adalah dengan menyeludup masuk dadah dari negara jiran utara semenanjung dengan menggunakan jalan laut sebelum diseludup ke Lembah Klang dan seterusnya diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut juga,
“Dadah ini juga diedar di sekitar Selangor dan Johor serta telah dikesan aktif sejak Januari 2022,” katanya lagi.
Ayob menjelaskan, jumlah sitaan aset bernilai RM173,000 yang melibatkan kenderaan dan wang tunai.
“Jumlah dadah yang dirampas termasuk aset bernilai RM10.5 juta,
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan kesemua suspek direman dalam 5 hingga 7 hari,” ujarnya lagi. – airtimes.my