KUALA LUMPUR, 25 Apr – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.
Anwar menyifatkan siasatan SRPM tersebut melanggar prinsip pengasingan kuasa.
“Saya ambil maklum isu melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali terkait dakwaan wang RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya,
“Walau bagaimanapun, saya ingin tegaskan institusi kehakiman sendiri mempunyai badan yang menyelia serta mengawal integriti para hakim dan ini ditetapkan untuk memastikan agar wujud pembahagian kuasa yang jelas di dalam sistem yang ada,
“Justeru campurtangan SPRM melanggar prinsip ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM memaklumkan, pihaknya sudah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan mengikut prosedur biasa selepas menerima laporan secara rasmi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, integriti dan kebebasan badan kehakiman kelihatan beransur pulih akibat dari kecelaruan serta ketempangan berdekad-dekad lamanya tanpa ada usaha serius pemerintah untuk membetulkannya.
“Adalah dikhuatiri hebahan sebegini akan dianggap sebagai tekanan dan campurtangan politik,” ujarnya.
Sebelum ini, Mohd Nazlan telah membuat laporan polis berhubung satu artikel bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan arrested’ dan ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ bertarikh 14 Mac lalu. – airtimes.my