Home Pertahanan dan Keselamatan Perolehan LCS: Vendor luar negara dapat manfaat, bukan rakyat – P. Ramasamy

Perolehan LCS: Vendor luar negara dapat manfaat, bukan rakyat – P. Ramasamy

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 22 April – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Profesor Dr P Ramasamy hari ini mendakwa keputusan kerajaan untuk meneruskan perolehan kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) adalah untuk menyelamatkan vendor semata-mata.

Beliau dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya berkata, kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berhubung keputusan kerajaan untuk meneruskan projek LCS adalah kurang jelas.

“Menteri Pertahanan berasa gembira kerana kabinet memutuskan untuk meneruskan pembelian kapal tempur pesisir dengan implikasi kewangan RM4 bilion,

“Keputusan itu dialu-alukan atas dua alasan iaitu kapal ini sangat diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia untuk melindungi pesisir laut negara dan memastikan 400 vendor yang terlibat dalam projek itu dijaga, termasuk 100 rakyat Malaysia daripada persatuan veteran angkatan tentera dijaga,

“Nampaknya penerima manfaat utama melalui pembelian ini adalah vendor luar negara dan bukannya rakyat Malaysia,

“Kenyataan pelik Hishammuddin yang kurang jelas atau samar untuk mencadangkan bahawa kepentingan vendor perlu diambil kira seolah-olah keutamaan ini setaraf atau melebihi keutamaan tentera laut yang menjaga negara,

“Apakah butiran sebenar vendor, baik warga asing mahupun tempatan?” katanya.

Pada masa yang sama, beliau mempersoalkan sama ada pihak kerajaan mempunyai sebarang komitmen terdahulu dengan vendor sehingga menjaga kepentingan kewangan mereka.

“Kepentingan siapa yang cuba dilindungi oleh Kementerian Pertahanan, adakah mereka cuba melindungi keutamaan berjuta-juta pembayar cukai atau beberapa pihak berkepentingan?

“Memandangkan kelulusan pembelian kapal tempur adalah keputusan kabinet, maka saya boleh menganggap bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaacob mengetahui butiran sepenuh tentang pembelian itu,

“Adakah beliau bersedia untuk mendedahkan butiran tentang pembelian itu di Parlimen?

“Atau adakah dia cuba memberi tumpuan dalam menyenangkan hati dan meredakan kepentingan pelbagai pihak di negara ini?” ujar beliau.

Terdahulu, Kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek perolehan kapal LCS setelah mendapat kelulusan oleh Jemaah Menteri.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Hishammuddin semasa beliau mengadakan lawatan ke KD Mahawangsa pada 20 April lalu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!