KUALA LUMPUR, 22 Apr – Kerajaan disarankan agar tahanan baharu Rohingya didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian (UNHCR), dan mereka segera bebaskan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, insiden ratusan tahanan Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Kedah sehingga ada yang terbunuh dilanggar kenderaan adalah sesuatu yang mendukacitakan.
Menurut beliau, kerajaan mesti segera melakukan siasatan komprehensif dan telus serta mengumumkan dapatan siasatan itu kepada awam.
“Insiden melarikan diri, protes dan rusuhan di pusat tahan Imigresen bukanlah sesuatu yang baru. Ia terus berulang dan mungkin berpunca daripada masalah kesesakan di dalam blok tahanan, tempoh tahanan yang lama dan terhadnya kemampuan sumber kerajaan dalam pengurusan pusat sedemikian,
“Penahanan berterusan dan lama, tanpa kejelasan tentang kesudahan terhadap nasib dan masa depan mereka adalah pelanggaran hak asasi manusia,
“Ia juga adalah pembaziran kepada wang rakyat apabila semua ini melibatkan pembiayaan Kerajaan sepenuhnya,” jelasnya dalam hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Khaled menjelaskan, sebagai anggota Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022 hingga 2024, Malaysia mesti menunjukkan iltizam untuk mengurus dasar-dasar berkaitan pelarian dengan lebih telus, bertanggungjawab dan bersandar keselamatan insan.
Jelasnya, tahanan baru mesti segera didaftarkan dengan UNHCR. Mereka yang telah berdaftar dan mempunyai kad, mestilah segera dibebaskan.
“Tanpa perlu mengimport jutaan pekerja tidak berkemahiran melalui pelbagai MoU yang merumitkan, kumpulan pelarian ini boleh kita benarkan untuk bekerja,
“Ini akan membantu mereka membangun kemahiran, membiayai kehidupan sendiri dan mengurangkan beban kerajaan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Khaled berkata, kerjasama erat dengan UNHCR mesti dipertingkatkan agar mereka boleh segera dipindahkan ke negara penerima dan memulakan kehidupan baru di negara-negara tersebut.
“Ramadhan yang Kareem dan Mubarak ini harus menjelmakan ihsan dan kemanusiaan kita kepada mereka yang mencari perlindungan di negara ini tanpa berkompromi dengan kepentingan keselamatan nasional,” jelasnya.
Pada Rabu lalu, seramai 528 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang dan 6 daripada mereka maut dilanggar kenderaan semasa melintasi jalan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran kawasan Jawi, Nibong Tebal.
Sehingga pukul 6 pagi tadi, seramai 96 tahanan etnik Rohingya masih meloloskan diri.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, ketika ini pelbagai tindakan giat diambil bagi mengesan kedudukan mereka.
Menurutnya, hampir 80 peratus tahanan yang belum diitemukan itu adalah individu lelaki dewasa. -airtimes.my