KUALA LUMPUR, 21 April – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini menyambut baik keputusan kerajaan untuk meneruskan projek kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ship, LCS).
LTAT dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut secara langsung dapat melindungi dana daripada impak negatif akibat menanggung kerugian jika projek tersebut tidak dipulihkan segera.
“Sekiranya projek ini gagal diteruskan, kesan domino kewangan yang akan berlaku boleh mengakibatkan rosot nilai sehingga RM2.1 bilion,
“Ia bersamaan 21 peratus daripada keseluruhan jumlah dana persaraan yang diuruskan LTAT.
“Jika ini berlaku, LTAT tidak akan berupaya untuk terus memberikan pulangan kepada pencarum untuk sekurang-kurangnya enam (6) tahun akan datang,” kata Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman.
Dalam kenyataan yang sama, LTAT menyatakan pihaknya terdedah dengan kerugian besar menerusi pegangan majoritinya dalam Boustead Holdings Berhad (BHB) sebanyak 59.4 peratus dan 61 peratus pegangan efektif dalam syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
“Kelulusan Kabinet ke atas pelan pemulihan projek LCS ini secara langsung telah mengelakkan malapetaka kewangan kepada LTAT dan membolehkan LTAT terus memberi fokus kepada pemeliharaan modal dan peningkatan nilai dalam jangka panjang bagi memastikan kedudukan kewangan LTAT terus berada pada tahap yang baik.
“Ini sudah pasti akan membolehkan LTAT memberi pulangan mampan dan kompetitif kepada pencarumnya yang merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” kata kenyataan itu.
Tambahnya, langkah proaktif LTAT bersama Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jawatankuasa Khas Kabinet mencari penyelesaian dalam perolehan LCS telah mengambil kira semua aspek termasuk implikasi kewangan. – airtimes.my
Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali. Sila hubungi pihak Air Times untuk maklumat lanjut. Terima kasih.