Home Semasa Imigresen tingkat kawalan, aktifkan sistem amaran

Imigresen tingkat kawalan, aktifkan sistem amaran

by Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Apr – Depot Tahanan Imigresen di Bidor, Perak dan Beranang, Selangor telah diaktifkan sistem amaran bagi memastikan kejadian tahanan meloloskan diri seperti yang berlaku di Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, tidak berulang.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata aspek keselamatan di kedua-dua depot berkenaan telah dipertingkatkan memandangkan pusat tahanan sementara itu asalnya merupakan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

“Semua komandan telah berhubung dengan balai polis berdekatan dan telah mengaktifkan sistem amaran kerana tidak mahu kejadian itu memberi inspirasi kepada (tahanan di) depot yang lain,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, semalam.

Dalam kejadian awal pagi tadi semalam, seramai 528 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang dan 6 daripada mereka maut dilanggar kenderaan semasa melintasi jalan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran kawasan Jawi, Nibong Tebal.

Khairul Dzaimee bagaimanapun menjelaskan bahawa depot tahanan Sungai Bakap itu digunakan jabatan berkenaan untuk menempatkan pelarian yang didapati positif COVID-19.

“(Seramai) 528 orang tahanan etnik Rohingya yang ditempatkan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap asalnya ditahan di perairan Langkawi pada 2019 yang kemudian ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi,

“Namun kem itu ditutup pada 2021 dan pelarian tersebut kemudian dipindahkan ke beberapa depot antaranya di Sungai Bakap,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya berlaku kematian di depot tersebut sehingga memberi tekanan kepada tahanan, Khairul Dzaimee berkata hanya satu kes kematian kerana sakit biasa direkodkan namun, ia tiada kaitan dengan kejadian meloloskan diri berkenaan.

Beliau berkata punca kejadian pada awal pagi itu, masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha mengesan saki-baki warga asing yang meloloskan diri masih giat dijalankan pasukan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!