Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut TLDM patahkan cubaan seludup 674 hidupan liar di perairan Johor

TLDM patahkan cubaan seludup 674 hidupan liar di perairan Johor

by Air Times News Network

KOTA TINGGI, 20 Apr – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mematahkan cubaan jenayah rentas sempadan melibatkan penyeludupan burung murai batu dan kampung serta ayam sabung menggunakan bot fiber di perairan Johor Tenggara, semalam.

TLDM dalam satu kenyataan berkata, seorang lelaki warganegara telah ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan melalui jalan laut di kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika Tenggara Tanjung Pengelih pada jam 10.45 malam.

“KD HANDALAN yang sedang dalam penugasan Operasi Benteng (Op Benteng) Laut telah mengesan keberadaan bot tersebut yang mencurigakan dalam keadaan bergelap berhampiran Jeti Penumpang Tanjung Pengelih,

“Bertindak atas pengesanan, 2 buah bot pemintas TLDM jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) JULONG JULONG dan SANTI telah diaturgerak bagi melaksanakan pintasan di lapangan,” katanya.

Menurut TLDM, tindakan pantas RHIB Julong Julong dan Santi telah berjaya memintas dan seterusnya menahan bot fiber tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 120 ekor burung murai batu, 540 ekor burung murai kampung dan 14 ekor ayam sabung yang disyaki akan diseludup keluar,

“Bot yang disita bersama penyeludup dibawa ke Jeti Penumpang Tanjung Pengelih dan seterusnya telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,

“Manakala hasil rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Pahang bagi tindakan selanjutnya,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!