BANDAR BAHARU, 20 Apr – Tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap di Relau disifatkan sebagai berbahaya kerana mereka mampu melakukan apa sahaja termasuklah menceroboh kediaman penduduk setempat.
Ketua Polis Kedah, Komisioner, Wan Hassan Wan Ahmad berkata, seramai 176 tahanan dilaporkan masih bebas setakat ini dan pihaknya bimbang etnik tersebut boleh melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan diri mereka.
“Dalam keadaan diri yang lapar golongan ini dikhuatiri akan menceroboh rumah penduduk atau melakukan sebarang tindakan luar kawalan untuk meneruskan hidup,
“Kita khuatir kemungkinan akan wujud elemen jenayah yang dilakukan mereka seperti menceroboh atau mencuri di rumah penduduk,
“Bagaimanapun, Polis Kontinjen Kedah telah melancarkan Ops Cantas dengan kerjasama Polis Pulau Pinang untuk mengesan mereka yang masih bebas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bandar Baharu hari ini.
Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan wujudnya tidak puas hati hingga menyebabkan tercetusnya rusuhan itu.
“Bagaimanapun, elemen tidak puas hati ini bersasarkan kepada siasatan awal dan kita akan mencari punca sebenar kejadian ini dengan meneruskan siasatan lanjut.
“Setakat ini, kes disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 147 KK,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati ketika kejadian ada seramai 23 anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas mengawal kawasan depoh, namun gagal mengawal keadaan memandangkan jumlah tahanan meloloskan diri terlalu ramai.
“Bagaimanapun, dalam rusuhan itu tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan hanya berlaku sedikit kerosakan kecil di pintu utama dan pagar,
“Disebabkan terlalu ramai tahanan dengan kawasan yang agak sempit membuatkan ia menjadi tidak terkawal dan tahanan mengambil kesempatan melarikan diri,” tambahnya.
Menurutnya, setakat ini seramai 176 daripada 528 tahanan yang melarikan diri masih diburu dan dipercayai mereka ini masih berada di kawasan sekitar.
“Tahanan yang masih bebas ini kebanyakannya hanya berkaki ayam dan agak mudah untuk dikenal pasti berdasarkan pemakaian mereka,
“Kita percaya ada segelintir tahanan ini yang menahan dan menumpang kenderaan orang ramai dan harap mereka yang tumpangkan golongan ini menghubungi polis,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, Wan Hassan turut mengingatkan orang awam agar tidak melindungi kesemua tahanan tersebut.-airtimes.my