KUALA KURAU, 20 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B bersama 3 kru warga asing di Pulau Pasir Hitam, Perak, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, semasa rondaan rutin, bot ronda APMM telah mengesan bot nelayan terbabit dalam keadaan mencurigakan di lebih kurang jam 12.00 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan mendapati, seramai 3 kru termasuk tekong berada di atas bot dan 2 daripadanya merupakan warga Thailand manakala seorang warga Myanmar berumur lingkungan 31 hingga 45 tahun,
“Kesemua nelayan terlibat tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan gagal mengemukakan dokumen kebenaran menggajikan kru warga asing,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Namun, bot yang dikendalikan memiliki dokumen lesen vesel yang sah.
Menurutnya, sebanyak 500 kilogram (kg) hasil ikan campur serta 200 kg ikan baja dianggarkan bernilai RM2,700 ditemui semasa pemeriksaan dilakukan.
“Kesemua suspek, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya. – airtimes.my