BANDAR BAHARU, 20 Apr – Seramai 6 orang tahanan Rohingya termasuk 2 kanak-kanak yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Relau, Bandar Baru Kedah maut ketika cuba menyeberangi Lebuh Raya Utara-Selatan di Kilometer (KM) 165 dekat Nibong Tebal, awal pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, mereka terdiri daripada 2 lelaki dewasa, 2 wanita dewasa serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan yang terbunuh di lokasi kira-kira pukul 6.50 pagi.
Kejadian berlaku ketika mereka bersama 229 etnik Rohingya yang lain cuba menyeberangi lebuh raya itu selepas meloloskan diri dari Depoh Tahanan Relau, Bandar Baharu di Kulim, Kedah kira-kira pukul 4.30 pagi.
Beliau berkata, kumpulan warga asing berkenaan kemudiannya tidak lagi berani melintas lebuh raya sejurus kejadian dan hanya menyelusuri bahu lebuh raya tanpa arah tuju.
“Kita kemudian berjaya menahan 229 di KM168 yang turut dibantu oleh sekumpulan anak muda yang menjejaki mereka,
“Orang kampung juga berjaya menahan 88 daripada mereka sebelum diserahkan kepada pihak imigresen,” katanya.
Mohd. Shuhaily menjelaskan, pihaknya kini sedang giat mengesan saki baki tahanan Rohingya dan beliau menjelaskan, operasi buruan ini memerlukan sumber tenaga yang besar.
Terdahulu, seramai 528 orang tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara di Sungai Bakap, Pulau Pinang, kira-kira jam 4.30 pagi tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ketika mengesahkan kejadian berkata, tahanan dikatakan melarikan diri dengan memecahkan pintu blok dan pagar pengadang di depot berkenaan.
Setakat jam 10 pagi tadi, seramai 362 tahanan telah berjaya ditahan semula manakala bakinya masih bebas.-airtimes.my