KUALA LUMPUR, 19 Apr – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) yang berselinding di sebalik sebuah syarikat pelancongan di ibu kota.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua suspek diberkas dalam operasi yang dilakukan ke atas sebuah premis di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, seramai 3 orang warga asing dan seorang lelaki tempatan berumur diantara 20 hingga 47 tahun telah ditahan dalam operasi tersebut.
“Dalam operasi tersebut, anggota telah menjumpai sebanyak 264 naskah pasport pelbagai negara seperti Bangladesh, Indonesia dan India dipercayai cuba didaftarkan dalam Program RTK,
“Turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM7,270.00 dipercayai sebahagian hasil kutipan transaksi harian dari aktiviti berkenaan,” jelasnya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, modus operandi sindiket adalah menjadikan premis syarikat pelancongan sebagai lokasi pendaftaran, pengumpulan pasport dan penerimaan bayaran dari warga asing untuk menyertai Program RTK.
“Sindiket didapati menjalankan aktiviti menyerupai syarikat outsourcing yang telah dimansuhkan dengan menggunakan beberapa syarikat tidak aktif (dormant) untuk mendapatkan kuota pekerja asing di bawah Program RTK,
“Khidmat pekerja-pekerja asing yang berjaya didaftarkan akan ditawarkan kepada mana-mana individu atau syarikat yang memerlukan pekerja asing dengan bayaran tertentu,
“Pihak sindiket dipercayai mengenakan bayaran di antara RM6,500.00 hingga RM8,000.00 seorang bagi mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pelbagai sektor melalui program berkenaan,” ujarnya.
Khairul Dzaimee turut menjelaskan, berdasarkan jumlah pasport dan tempoh beroperasi, sindiket ini dipercayai berjaya mengaut keuntungan mencecah RM2 juta melalui caj yang dikenakan ke atas pekerja asing, syarikat atau individu yang menjadi pelanggan mereka.
Tambahnya, kesemua tahanan dibawa ke JIM Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Manakala, kesalahan akan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan orang ramai terutamanya warga asing dan majikan supaya berurusan terus dengan JIM dan tidak menggunakan orang tengah atau ejen dalam urusan mendapatkan PLKS yang sah di bawah program RTK.-airtimes.my