Home Semasa “Saya rasa dikhianati”: Anak Zahid Hamidi nafi keluarga lindungi Siti Bainun

“Saya rasa dikhianati”: Anak Zahid Hamidi nafi keluarga lindungi Siti Bainun

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 19 Apr – Anak perempuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Datuk Nurul Hidayah menafikan dakwaan keluarganya melindungi pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Nurul Hidayah berkata, keluarganya tidak pernah melindungi Siti Bainun yang kini didakwa atas tuduhan mengabaikan dan mendera remaja sindrom down berusia 13 tahun.

“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

“Pendedahan ini bukan untuk mengaibkan sesiapa. Sebagai anak saya wajib mempertahankan maruah keluarga saya dari terus tercalar,

“Saya tidak pernah membuat kenyataan tidak mengenali orang kena tahan (OKT). Kenyataan saya adalah ‘Kami sekeluarga tiada kena mengena dengan OKT’ atau dengan pemahaman lain, kami sekeluarga tidak pernah melindungi OKT,” katanya.

Namun, Nurul Hidayat mengakui keluarganya pernah kenal dan rapat dengan Siti Bainun.

“Sebagai seorang yang pernah rapat, saya merasakan dikhianati kerana selama ini OKT yang saya anggap sebagai insan yang suka membantu orang lain sebenarnya mempunyai satu lagi personaliti yang tidak terbayang dek akal saya,” ujarnya.

Pada masa sama, Nurul Hidayah tidak faham motif dan fokus #justiceforbella, untuk membuktikan siapa pelaku atau siapa yang rapat dengan Siti Bainun.

“Saya tidak berhajat untuk menulis lebih panjang kerana sebagai manusia, hati saya tidak mampu menahan emosi melihat orang yang pernah rapat dengan kita suatu ketika dahulu didakwa atas tuduhan mendera,

“Wallahi kami sekeluarga tidak pernah melindungi OKT,” jelasnya.

Dalam hantaran tersebut, Nurul Hidayah juga memuat naik screenshot perbualan melalui WhatsApp antara beliau dengan Siti Bainun.

 

“Screenshot daripada whatsapp saya dgn OKT diharap dapat menjelaskan keadaan yang saya juga telah ditanya oleh OKT ‘Kak Long ada personal issue dengan saya ker?!’ setelah satu posting dibuat pada tahun lepas di IG saya berkenaan Bella,

“Saya tidak memaksa untuk sesiapa mempercayainya. Tetapi cukuplah saya menjelaskan kami sekeluarga tidak pernah melindungi OKT,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Ahmad Zahid turut menafikan beliau melindungi Siti Bainun yang mengupah 10 peguam bela dalam kes penderaan Bella.

Katanya, dakwaan yang dibuat berdasarkan gambar beliau dengan tertuduh tidak berasas kerana sebagai pemimpin, beliau tidak mungkin menolak permintaan orang ramai untuk bergambar.

“Biarlah mahkamah yang menentukan kebenaran melalui proses perbicaraan yang adil dan saksama,

“Dakwaan saya cuba mempengaruhi mahkamah dalam perbicaraan kes Bella juga tidak masuk akal.

“Bagaimana saya boleh melakukannya walhal yang menuduh juga tentu tahu saya tiada sebarang kuasa berbuat demikian,

“Saya tidak berada dalam kerajaan untuk menekan pihak pendakwaan seperti yang dilakukan kerajaan 22 bulan,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!