KUALA LUMPUR, 18 Apr – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi seorang lelaki tempatan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Polis Jasmirol Jamaluddin berkata, hasil siasatan, risikan serta maklumat daripada orang awam, pihak polis berjaya merampas sejumlah dadah disyaki syabu, heroin, ganja pil erimin 5 dan ketamine.
“Pada 14 dan 15 April 2022 bermula jam 9.05 hingga 5.10 pagi, JSJN IPK Kuala Lumpur telah melancarkan 5 serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,
“Seramai 5 lelaki dan seorang perempuan warga tempatan ditahan bersama sejumlah dadah yang disyaki jenis syabu, heroin, ganja pil erimin 5 dan ketamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, kesemua suspek yang ditahan berumur 20 hingga 45 tahun.
“Rampasan operasi tersebut terdiri daripada 3.2 kg dadah disyaki jenis syabu bernilai RM121,510, 8.4 kilogram (kg) dadah jenis heroin RM116,722, 10.8 kg ganja RM27,400,
“3,150 biji pil dadah jenis erimin 5 RM66,300, 365 gm dadah disyaki jenis ketamine RM54,825 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah adalah RM 386,757,” ujarnya.
Jasmirol menjelaskan, nilai keseluruhan rampasan dadah serta wang sitaan berjumlah RM389,537.
Tambahnya lagi, kesemua suspek direman selama 7 hari sehingga 21 April di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,
“Keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 48,594 orang pengguna dadah,” katanya lagi. – airtimes.my