KUALA LUMPUR, 18 Apr – Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, komuniti antarabangsa mesti memperbaharui komitmen untuk mengakhiri serangan kejam tentera Israel terhadap Palestin.
Beliau berkata, komitmen tersebut adalah bagi melindungi kebebasan dan hak asasi manusia Palestin.
“Saya telah menghubungi Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin, TYT Dr Riad Malki menerusi telefon berhubung situasi terkini di Palestin,
“Saya telah menyatakan pendirian teguh Malaysia bersama rakyat Palestin dalam menghadapi keganasan tentera rejim Israel,
“Perbuatan keji dan tidak berperikemanusiaan ini mesti dikecam sekeras-kerasnya serta tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya, pada Ahad.
Terdahulu, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadap Tentera Rejim Israel yang telah menyerang penganut Islam Palestin termasuk anggota perubatan dan wartawan di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat.
Pada Ahad, polis Israel dilapor sekali lagi menyerbu pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur, mencetuskan pertempuran yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 lagi rakyat Palestin cedera. – airtimes.my