Home Semasa Indonesia tamat Operasi Carilamat penyelam warga Belanda hilang – APMM

Indonesia tamat Operasi Carilamat penyelam warga Belanda hilang – APMM

by Nurulhuda

MERSING, 18 Apr – Badan Search and Rescue Nasional Indonesia (BASARNAS) telah menghentikan operasi pencarian penyelam remaja warga Belanda, Nathan Renve Chesters, 14, yang hilang di Pulau Tokong, Sanggol dan disyaki hanyut ke perairan Indonesia.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kenyataan berkata, operasi tersebut ditamatkan secara rasmi sekitar jam 7.00 malam semalam berikutan tiada sebarang petunjuk dan penemuan mangsa di perairan Pulau Bintan, Indonesia.

Pengarah APMM Mersing, Komander APMM Khairul Nizam Misran berkata, Pusat Operasi BASARNAS Tanjung Pinang, mengumumkan penutupan operasi setelah 7 hari pencarian yang bermula pada 10 April lalu di sektor perairan Indonesia itu tidak menunjukkan sebarang petunjuk dan penemuan.

Beliau berkata, pihaknya juga memaklumkan kepada kedutaan Britain dan Belanda mengenai laporan tamat Operasi Cari dan Menyelamat (Op Carilamat) yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Indonesia itu.

“Op Carilamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa negara Indonesia itu melibatkan sebuah kapal TNI (Tentera Nasional Indonesia), sebuah kapal dari BAKAMLA (Badan Keamanan Laut Indonesia), POLAIR (Polis Perairan Indonesia), dan sebuah kapal dari BASARNAS,

“MRSC Johor Bahru merakamkan setinggi-tinggi penghargaandan jutaan terima kasih diatas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam operasi ini,

“Diharapkan kerjasama di kalangan jabatan dan agensi terlibat terus diperkukuhkan agar keselamatan dan kesejahteraan komuniti maritim di perairan negara kekal terjamin,” katanya lagi.

Nathan Renze merupakan anak kepada salah seorang penyelam warga Eropah dan Belanda yang hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong, pada 6 April lalu.

3 penyelam termasuk seorang Juruselam warga Norway Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat dalam keadaan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia.

Manakala, Adrian Peter Chesters (bapa kepada Nathan Renze) dan warga Perancis Alexia Alexandra Molina pula dijumpai oleh nelayan tempatan kira-kira pukul 1 pagi pada 9 April lalu. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!