KUALA KURAU, 18 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan 2 buah bot nelayan tempatan kelas B di kedudukan 10.2 batu nautika, barat Pulau Pasir Hitam, Perak, semalam.
Pengarah APMM Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, pasukan operasi mendapati sebuah bot berada dalam keadaan mencurigakan dengan melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan tunda gading.
“Kedua-dua bot tersebut bertindak membuang pukat dan cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,
“Bot tersebut berjaya dipintas dan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati 4 kru warga tempatan berumur lingkungan 37 hingga 61 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka mempunyai lesen vesel yang sah, namun telah melanggar syarat sah lesen dengan melakukan kaedah penangkapan ikan yang tidak dibenarkan,
“Kesemua bot, kru dan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Zon APMM Kuala Kurau untuk siasatan,
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985,” ujarnya. – airitmes.my