Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat pertingkat keselamatan Sabah sepanjang bulan Ramadan, Syawal

Tentera Darat pertingkat keselamatan Sabah sepanjang bulan Ramadan, Syawal

by Nurulhuda

GERIK, 16 Apr – Tentera Darat Malaysia (TDM) terus komited pertingkat pengoperasian dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara termasuklah di Sabah serta Sarawak.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain menjelaskan, warganya akan terus menjalankan tugasan memelihara kawasan negeri Sabah dari sebarang ancaman dan anasir luar walaupun dalam bulan Ramadan.

Beliau berkata, walaupun perairan Sabah bukan dibawah tanggungjawab TDM, tetapi tugasan anggota yang melaksanakan operasi di kawasan tersebut harus diberi keutamaan.

Zamrose menegaskan, menjadi tanggungjawab TDM untuk sentiasa mengekalkan kesiagaan warganya dalam melaksanakan operasi termasuklah Operasi Benteng (Op Benteng) yang dilaksanakan sejak Mei 2020.

“Di Sabah masalah keselamatan masih lagi di tahap kritikal, termasuklah isu berkaitan Filipina dan Kerajaan Sulu yang menuntut negeri Sabah,

“Selain itu, masih terdapat kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan serta lain-lain jenayah rentas sempadan,

“Sehubungan itu, saya berharap anggota TDM akan meneruskan tanggungjawab yang diamanahkan dalam melaksanakan operasi mengikut tugas dan peranan masing-masing demi menjaga kedaulatan negara,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa bersama anggota operasi di Markas Taktikal 749 Kem Sri Banding, pada Jumaat.

Dalam masa yang sama, Zamrose turut menyatakan, pihaknya kini dalam proses bagi memohon untuk mendapatkan hak kuasa memeriksa, menahan dan menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menceroboh sempadan daratan negara.

Tambahnya, hak kuasa itu penting bagi memastikan tugasan yang dilaksanakan oleh anggota mampu mengekang sebarang cubaan pencerobohan dan penyeludupan berlaku ketika beroperasi.

“Kita (TDM) masih di dalam proses bagi memohon kelulusan hak kuasa itu daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN),

“Hak kuasa ini amat diperlukan di kawasan operasi seperti di sempadan Thailand dan di sempadan Kalimantan,” ujarnya.

Terdahulu, Zamrose meluangkan masa berbuka puasa bersama warga Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD) yang sedang beroperasi Op Benteng di Markas Taktikal Kem Banding.

Kemudian, beliau menunaikan solat Maghrib, Isyak dan sunat Tarawih bersama-sama pegawai serta anggota operasi.

Dalam majlis yang sama, Zamrose turut berkesempatan menyempurnakan acara pemakaian pangkat sebagai pengiktirafan khidmat bakti warga TDM kepada 16 anggota yang baru dinaikan pangkat.

Selain itu, majlis turut menyaksikan seramai 8 orang pegawai dan anggota telah menerima Beg Hari Raya Aidilfitri Tahun 1443 H/2022 M sebagai simbolik penyerahan kepada pasukan yang terlibat di dalam Op Benteng ini. -airtimes.my

Galeri gambar :

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!