Home Pertahanan dan Keselamatan Operasi Khas Pagar Laut kekang jenayah rentas sempadan musim perayaan

Operasi Khas Pagar Laut kekang jenayah rentas sempadan musim perayaan

by Air Times News Network

KUALA LINGGI, 15 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan melancarkan Operasi Khas Pagar Laut siri 1/2022 (Op Khas Pagar Laut) di seluruh perairan Malaysia bermula 19 April hingga 17 Mei ini.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, Op Khas Pagar Laut itu bertujuan mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Umumnya pelaku jenayah beranggapan penguatkuasaan undang-undang di musim perayaan agak longgar kerana sebahagian besar petugas keselamatan bercuti dan meraikan perayaan,

“Situasi ini seringkali diambil kesempatan oleh sindiket dan penjenayah dengan melakukan aktiviti penyeludupan, pencerobohan, penipuan serta lain-lain jenayah berkaitan melalui jalan laut,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan trend aktiviti jenayah di musim perayaan Aidilfitri sebelum ini, APMM tidak akan mengendurkan kesiapsiagaan operasi.

“Op Khas Pagar Laut dilancarkan bagi mengukuhkan kawalan keselamatan dengan meningkatkan kesiapsiagaan aset-aset, keanggotaan serta penguatkuasaan terutamanya di setiap titik panas seluruh negara,

“Seterusnya memastikan langkah pencegahan yang efektif dilaksanakan supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara,” ujarnya.

Menurutnya, Op Khas Pagar Laut ini dilaksanakan setiap tahun bermula 2016 dan ia merupakan tahun ketujuh, melibatkan semua APMM negeri termasuk Zon Maritim berikutan cabaran dan ancaman yang berbeza antara negeri-negeri.

“Sebagai contoh negeri-negeri di sepanjang Selat Melaka berhadapan dengan aktiviti penyeludupan dadah, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kontraband. Manakala di Pantai Timur terancam dengan aktiviti pencerobohan bot nelayan asing,

“Sabah, Sarawak dan Labuan turut berhadapan dengan ancaman penyeludupan kontraband, PATI, dadah serta barang kawalan bersubsidi,” jelasnya.

Disamping itu, APMM juga sentiasa bersedia untuk mengerahkan aset-aset laut atau udara bagi melaksanakan tugas `Search and Rescue’ (SAR).

Pada tahun lalu, Op Khas Pagar Laut merekodkan 21 tangkapan membabitkan PATI, penyeludupan dadah, kontraband, ketum dan lain-lain dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM 38.8 juta.

“Bagi tahun 2022 sehingga 8 April lalu, APMM telah merekodkan 257 kes tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan dadah, kontraband, pencerobohan bot nelayan asing dan lain-lain dengan nilai rampasan lebih RM49.2 juta,” katanya lagi. – airtimes.my

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!