KOTA TINGGI, 15 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor berjaya menahan sebuah kapal tunda yang berdaftar dari China bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, semalam.
Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tunda sepanjang 62 meter itu ditahan oleh bot ronda APMM di kedudukan 26.4 batu nautika timur laut Tanjung Penawar.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan terdiri dari 15 kru lelaki warganegara China berumur antara 27 hingga 64 tahun serta mempunyai pengenalan diri yang sah,
“Kapal tersebut telah bersauh sejak 17 Mac lalu dan nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan bersauh dari Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Menurutnya, kapal serta kesemua kru telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491 B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun.
Pada masa sama, APMM menasihati agar syarikat perkapalan sentiasa mematuhi undang-undang di perairan negeri Johor. -airtimes.my