KUALA LUMPUR, 14 Apr – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Menurut Ahmad Maslan, MKT UMNO juga membuat ketetapan agar kedudukan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai ini diputuskan tidak akan diteruskan lagi.
Selain itu, MKT juga mahu pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan mahupun untuk merubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain.
“UMNO berpendirian akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Katanya, bagi melaksanakan keputusan sebulat suara usul Perhimpunan Agung UMNO 2021 lalu, satu Perhimpunan Agung UMNO Khas akan diadakan pada 14 Mei ini bagi melakukan pindaan Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti.
“Pada hari yang sama juga akan diadakan Sambutan Hari UMNO dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya. – airtimes.my